18.3 c Malaysia

Kumpul Saham Akhirat, Shuib Tubuh Yayasan Bantu Orang Susah


Teruk dihentam kerana menyuarakan pandangan golongan selebriti perlu bantuan khusus daripada kerajaan, pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu mahu ‘menebus’ kesilapannya itu dengan melancarkan Yayasan Bubble Bee untuk membantu golongan yang memerlukan.

Menurut Shuib, idea menubuhkan yayasan itu timbul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu. Ujarnya, sebahagiaan hasil daripada perniagaan minuman Bubbe Bee yang diusahakannya akan disalurkan ke yayasan itu.

“Idea menubuhkan yayasan ini tercetus ketika kita berada dalam tempoh PKP. Ketika itu saya memberi bantuan kepada golongan memerlukan. Namun, perkara itu mengundang kritikan warganet kononnya saya mahu buat ‘damage control’.

“Memandangkan saya ada perniagaan minuman Bubble Bee, jadi saya terfikir kenapa tidak menubuhkan yayasan. Kiranya, aktiviti bantuan ini akan dibuat secara berterusan dan bukannya sementara.

“Apa saya akan buat adalah, daripada perniagaan itu saya ketepikan sedikit bahagian untuk yayasan berkenaan. Contoh dari hasil jualan harian, cendrahati Bubble Bee dan lebihan duit baki yang pelanggan masukkan dalam tabung,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Shuib berkata dia akan mewajibkan setiap cawangan dan cawangan kerjasama yang dibuka melakukan perkara sama. Menerusi yayasan itu, Shuib merancang untuk membuat program kebajikan masyarakat (CSR) pada setiap bulan.

“Disebabkan saya nak buka banyak cawangan, saya terfikir setiap daripada itu diwajibkan menjaga satu rumah kebajikan. Walaupun jumlah disumbangkan tak banyak, tapi kalau berterusan ia pasti bermanfaat dan membantu.

“Alhamdulillah, perkara itu disambut baik setiap rakan kerjasama yang membuka cawangan. Mereka bersetuju dan tak bantah pun. Sekurang-kurangnya ada juga saham akhirat,” katanya.

Difahamkan, Shuib bakal membuka enam lagi cawangan Bubble Bee dan menyasarkan 28 cawangan dibuka pada tahun ini.